SEJARAH NEGERI PAHANG

Sejarah Negeri Pahang bermula sebelum didirikan kerajaan Melayu Melaka, wilayah bahagian selatan Semenanjung Tanah Melayu semuanya termasuk dalam kawasan kerajaan Pahang. Orang Jawa Majapahit zaman dahulu menyebut Semenanjung Tanah Melayu sebagai Pahang sahaja. Pada awal kurun Masihi ke 16, pada permulaan terdirinya kerajaan Melayu Johor, sempadan Negeri Pahang , disebelahnya sampai ke Sedili Besar dan di utara sampai ke Terengganu, sempadan ke baratnya pula sampai ke Rembau, Selangor dan Perak. Negeri Pahang sekarang ini disebelah utara dan baratnya dilingkungi oleh banjaran gunung dan sebelah timurnya terbentang Laut China Selatan.

Negeri Pahang ialah sebuah negeri yang terbesar di Semenanjung Tanah Melayu dengan keluasan 35,515 kilometer persegi. Kemasyuran dan kehebatan namanya pada masa dahulu menjadi rebutan kerajaan yang ada disekelilingnya. Pada masa ini Pahang adalah negeri di Semenanjung dengan terbahagi kepada 11 buah daerah iaitu Kuantan, Pekan, Rompin, Maran, Temerloh, Jerantut, Bentong, Raub, Lipis, Cameron Highlands dan Bera. Manakala penduduknya pula terdiri daripada berbagai kaum, bangsa dan agama.

 

ASAL USUL NAMA NEGERI PAHANG

Pada zaman dahulu Negeri Pahang mempunyai berbagai nama. Pengarang China menyebutnya sebagai Pang-Hang, Peng-Heng, Pong-Fong, Phe-Hang, Pang-Kang dan lain-lain. Pada tahun 1225 Chao Ju-Kua telah mengarang sebuah buku bernama Chu-Fan-Chi, beliau menyatakan diantara beberapa buah negeri yang ditakluki di bawah kuasa San-fo-chi ialah negeri yang bernama Peng-Keng, Peng-Keng itu ialah Negeri Pahang Darul Makmur.

Orang Arab dan orang Eropah zaman dahulu  menyebut Pam, Pan, Phang, Paam, Pao, Paon, Phaan, Paham, Fanhan dan Phang da.

Sealin daripada itu G.R. Tibbetts, seorang ahli sejarah yang mengulas, kisah yang ditulis dengan huruf Arab dalam buku karangan Mas'udi itu pada pendapat Tibbetts ialah Pahang. Dia lebih setuju menyebut perkataan Fanjab itu sebagai Fanhan, Panghang atau Panhang. Semuanya itu dimaksudkan Pahang. Ada sesetengah pendapat menyatakan Pahang berasal dari bahasa Siam asli ertinya timah. Orang Siam asli dulunya mendiami negeri ini dengan membuka lombong bijih timah terutama di Sungai Lembing.

Mengikut cerita orang-orang tua Melayu pula, pada zaman dahulu di Sungai Pahang iaitu bertentangan dengan Kampung Kembahang, ada sebatang pokok kayu mahang yang besar rebah melintang menyeberangi sungai itu. Dari pokok mahang itu kononnya berasal nama Negeri Pahang. Gelaran tua bagi Negeri Pahang Darul Makmur itu ialah Inderapura, disebut Pahang Inderapura. Bandar Dirajanya terkenal hingga sekarang dan ibu Negeri pada zaman dahulu iaitu Pekan. Sebelum ditakluk oleh Kerajaan Melayu Melaka ia dikenali sebagai Pura.

 

SEJARAH BANDAR PEKAN

 

 

 

mercutandapekan

 

 

 

 

 

Bandar Pekan dikatakan telah wujud sejak abad ke 17. Mengikut pendapat orang tua-tua, Pekan mendapat namanya dari sejenis bunga yang dipanggil bunga Pekan yang banyak tumbuh di tebingnya. Namun begitu ada juga yang berpendapat bahawa Pekan mendapat namanya dari pengertian perkataan bandar, pasar atau tempat orang berjual beli.

Di zaman pemerintahan Melaka, dalam tahun 1470, Sultan Mansur Syah telah menghantar putera baginda, Muhammad Syah untuk memerintah Pahang. Dahulunya Pahang dikenali sebagai Inderapura.

Pahang, dahulunya merupakan sebuah pusat tumpuan pedagang dari dalam dan luar negeri. Tempat yang strategik ini menjadikan Pekan terkenal pada ketika itu. Sehingga kini masih terdapat kampung yang dahulunya telah dibuka oleh para pedagang.

Ketika Hugh Clifford datang ke Pahang, dia menyebut Kuala Sungai Parit tempat persemayaman Bendahara Tun Ahmad itu sebagai 'Pekan'.

Pada tahun 1889, Pekan telah dijadikan sebuah daerah dan F. Belfield telah dilantik sebagai Pegawai Daerahnya yang pertama. Dalam pada itu, Pekan dijadikan ibu negeri Pahang dari tahun 1889 hingga tahun 1898.

Pekan juga terkenal sebagai sebuah bandar yang aman, senyap serta sentiasa menampakkan ciri-ciri bandar di raja. Pembinaan bangunan-bangunan juga amat unik dan tersendiri terutamanya istana.

Antaranya bangunan yang terkenal yang telah dibina pada zaman Sultan Mahmud dan Sultan Abdullah ialah Istana Seri Terentang, Istana Kuning, Masjid Abdullah, Rumah Persinggahan Orang-Orang Kenamaan dan Rumah Rehat Pekan.

Pada zaman Sultan Abu Bakar pula, Istana Abu Bakar pula telah dibina bercirikan rekabentuk moden. Pada zaman ini juga dibina sekolah-sekolah Arab dan Jambatan Sultan Abu Bakar yang merentangi Sungai Pahang.

Dari segi ekonomi pula, ada kilang-kilang seperti kilang mentiga (perkayuan), Kilang Isuzu (kenderaan) dan Kilang Ested yang juga membuka peluang pekerjaan kepada penduduk Pekan. Deretan kedai dan bank yang ada dapat mempengaruhi keadaan ekonomi Pekan.

Walaupun terdapat kemasukkan unsur-unsur moden di kawasan bandar Pekan, namun Pekan tetap boleh dilihat dan dirasai sebagai bandar tradisi yang tenang dan aman dengan suasana alam sekitar yang mempersonakan. Tambahan pula dengan penduduknya yang ramah menantikan kedatangan pengunjung.